Sunday, 6 December 2015

CERPEN PENDEK

SEPASANG KASUT LARI


Aiman memulas kasar tombol pintu biliknya lalu dia menghempas daun pintu itu sehingga mengejutkan adiknya yang sedang lena diulit mimpi. Ternyata tindakannya itu memeranjatkan ibunya. Si ayah pula hanya membatukan diri menyambung bacaannya.

“Kenapa dengan anak awak tu? Balik dari sekolah mengamuk tidak tentu pasal.”

“Entah lah. Mungkin banyak kerja sekolah kot. Cubalah awak tanya sendiri, dia tu kan anak kesayangan awak,’ ujar Pak Hamid kepada isterinya Cik Bibah.

Cik Bibah hanya mencebikkan mulutnya sahaja apabila suaminya berkata sedemikian. Aiman merupakan anak sulung mereka dan dia merupakan anak manja kepada pasangan tersebut. Jarak umur sebanyak 8 tahun menyebabkan Aiman lebih manja berbanding adiknya yang bongsu. Apa sahaja yang diingini pasti akan dituruti oleh Pak Hamid dan Cik Bibah.

******

“Aiman, mari turun makan nak!” Jerit Cik Bibah memanggil Aiman makan malam. Sejak pulang dari sekolah tadi Aiman tidak menjamah sebutir nasi pun. Cik Bibah sudah biasa dengan perangai anaknya yang kadang kala tidak makan disebabkan terlalu penat dengan tugasan sekolahnya.

“Aiman, mak masak lauk kegemaran kamu ni. Mari turun cepat kita makan sama-sama.” Jerit Cik Bibah lagi.

Kali ini Aiman langsung tidak menyahut panggilan ibunya. Ini membuatkan Pak Hamid dan Cik Bibah kehairanan.

“Aiman penat agaknya tu. Marilah kita makan. Nanti lepas makan awak pergilah jenguk dia dalam bilik tu. Apa agaknya dibuat. Sudah solat ke belum agaknya tu.” Ujar Pak Hamid kepada isterinya.

“Baiklah bang. Esok awak nak turun ke laut pukul berapa? Boleh saya sediakan bekal untuk awak nanti.”

“Macam biasalah. Selepas subuh saya gerak ke laut. Tapi kali ni si Hassan ikut sama sekali. Ada juga saya teman.”

Mereka menjamah makan bersama. Sudah menjadi kebiasaan Cik Bibah menyediakan bekalan makanan untuk suaminya yang merupakan seorang nelayan.

******
Setelah selesai menjamu selera, Cik Bibah menuju ke bilik Aiman. Diketuk biliknya tetapi tidak berjawab. Lalu Cik Bibah memulas tombol pintu bilik Aiman yang tidak berkunci itu.

Dilihat sekujur tubuh yang lengkap berpakaian sekolah sedang terbaring di atas katil. Cik Bibah duduk di sisi katil mengahadap anaknya yang sedang tidur itu. Jelas kelihatan wajah anaknya yang sembam seolah-olah baru sahaja lepas menangis. Ini menambahkan lagi kerisauannya.

“Aiman, bangun nak. Pergi mandi, makan kemudian buat kerja sekolah.”

Aiman masih lagi lena dibuai mimpi. Cik Bibah amat kasahani akan Aiman kerana Aiman lah harapan mereka suami isteri untuk mengubah nasib mereka sekeluarga. Jika Aiman tidak belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya, bagaimanakah mereka dapat keluar daripada kepompong kemiskinan. Adiknya pula masih kecil lagi. Oleh itu, Aiman perlu memberi contoh yang terbaik kepada adiknya.

“Aiman, bangun nak..”

Kejutan ibunya yang kedua telah mematikan lena Aiman. Lalu Aiman pun bangun lantas menggosok matanya yang kabur.

“Jam berapa ni mak? Lama ke Aiman tidur?”

“Kamu tidur dari petang tadi. Mak jerit panggil kamu turun makan dengan ayah. Tapi kamu tak menyahut. Hmm.. boleh  mak tau kenapa kamu mengamuk balik sekolah tadi?”

“Hmm.. Aiman okay je mak. Aiman nak mandi. Nanti Aiman turun makan. Mak tolong panaskan lauk ye.” Jawab Aiman tanpa membalas pertanyaan ibunya. Ibunya hanya membiarkan sahaja kelakuan anaknya itu. Sebagai seorang ibu, sudah masak benar dengan perangai anaknya yang tidak menentu. Tambahan pula Aiman merupakan atlet harapan sekolah dalam sukan lari pecut. Sudah banyak kali Aiman dinobatkan sebagai olahragawan di peringkat negeri. Pencapaian kokurikulumnya juga seimbang dengan akademiknya yang mana Aiman merupakan pelajar harapan sekolah.

******

Setelah selesai menjamah makan malam, Aiman keluar mengambil angin di beranda rumahnya. 
Hembusan bayu laut memecah keheningan malam itu. Aiman teringat kembali peristiwa yang berlaku pada dirinya di sekolah petang tadi. Peristiwa yang begitu menguji tahap kesabarannya selama ini. Ikutkan hati, hendak sahaja dia melakukan lebih daripada itu.

“Hei Aiman! Sedar lah sikit diri tu anak nelayan. Ada hati nak wakil negeri ke peringkat kebangsaan. 
 Aku lagi layak lah daripada kau!” – Ikram, anak seorang usahawan terkemuka di negeri tersebut.

Ikram amat memusuhi Aiman kerana Aiman merupakan seorang pelajar yang seimbang akademik dan kokurikulumnya malahan guru-guru di sekolah Aiman amat menyayangi Aiman. Boleh dikatakan Aiman bagaikan anak emas Sekolah Menengah Desa Wawasan itu.

Pada petang tadi, Aiman telah menumbuk Ikram dan menyebabkan Ikram mengalami kecederaan yang teruk. Pihak sekolah telah mengambil tindakan terhadap Aiman. Bukan itu sahaja, ayah Ikram pula mengugut akan membuat laporan polis mengenai Aiman sekiranya Aiman tidak meminta maaf kepada Ikram dan membayar ganti rugi kecederaan.

“Buat apa saya nak minta maaf dengan orang yang dah hina keluarga saya! Saya tak kisah kalau Cikgu nak buang saya daripada sekolah ni!”

“Datuk tolong didik anak datuk ni supaya beradab dan hormat orang. Jangan nak hina seseorang sesuka hati! Pangkat dan kekayaan yang datuk ada tu tak kan kekal selamanya.”

“Aku rasa mak ayah kau yang salah mendidik kau, Aiman. Aku akan ambil tindakan undang-undang terhadap kau. Kalau sesuatu yang serious terjadi pada anak aku, aku takkan lepaskan kau!”

Peristiwa itu benar-benar memberi tamparan yang hebat pada Aiman. Tiba-tiba lamunannya terhenti apabila disapa oleh Pak Hamid.

“Jauh kau termenung Aiman. Apa yang kau fikirkan tu?” Soal Pak Hamid.

“Tiada apa ayah, saja je Aiman hirup udara malam ni. Panas kat dalam rumah.” Balas Aiman cuba menyembunyikan sesuatu.

“Marilah masuk Aiman, sudah larut malam ni. Lagipun tak elok kalau asyik terdedah dengan angina malam. Takut-takut nanti jatuh sakit pula. Aiman kan nak SPM tahun ni.”

Riak wajah Aiman berubah apabila ayahnya bercakap mengenai SPM. Ya, Aiman akan menduduki SPM hujung tahun ini. Tapi apakan daya, disebabkan peristiwa di sekolah tadi menyebabkan masa hadapannya gelap. Dia tidak akan menduduki peperiksaan besar itu. Dia mungkin akan dibuang sekolah!

*******

Pada hari ini, Aiman tidak pergi ke sekolah. Ibunya menyangkakan yang Aiman mungkin tidak berasa sedap badan kerana hanya melihat anaknya banyak berkurung di dalam bilik sahaja. Pak Hamid pula awal pagi lagi sudah turun ke laut dengan rakannya.

Semenjak dari peristiwa itu, Aiman banyak mendiamkan diri. Dia cuba mengumpul semangatnya semula untuk kembali ke sekolah.

Mahu tidak mahu, esok Aiman mesti pergi ke sekolah. Jika tidak, apa pula mak dan ayahnya fikir.

******
Keesokan harinya, sedang Cik Bibah menyapu sampah di halaman rumah, guru kelas Aiman, Puan Salmi datang menemui Cik Bibah. Kedatangannya disambut mesra oleh Cik Bibah. Pada waktu itu, Aiman tiada di rumah. Pagi tadi Aiman bersiap awal untuk ke sekolah.

“Assalamualaikum Cik Bibah, Aiman ada di rumah?”

“Waalaikumussalam cikgu, eh Aiman kan ada di sekolah. Kenapa cikgu cari Aiman sampai ke sini? Cikgu tak jumpa dia di sekolah ke?” Soalnya pelik.

“Cik Bibah, sudah 2 hari Aiman tidak hadir ke sekolah. Sebab itu lah saya datang sini untuk bertanyakan khabar Aiman. Lagipun, saya datang bawa surat daripada pihak sekolah,” balas Puan Salmi.

“Surat apa tu cikgu?”

Lalu Puan Salmi menghulur surat tersebut kepada Cik Bibah. Seusai membuka surat tersebut dan membaca kandungan surat itu, alangkah terkejutnya Cik Bibah apabila mengetahui mengenai masalah disiplin yang telah Aiman lakukan. Retak hatinya apabila mengetahui mengenai berita ini. Begitu tak disangka anak yang diberi didikan agama secukupnya sanggup melakukan perkara sedemikian. Memukul anak orang sehingga mengakibatkan kecederaan teruk.

Berita ini telah sampai kepada Pak Hamid. Pak Hamid amat berang dengan sikap anaknya. Setelah membersihkan diri, Pak Hamid terus duduk di beranda menanti kepulangan anaknya itu. Ingin diajar secukupnya anaknya yang telah memalukan mereka sekeluarga.

Tidak lama kemudian, Aiman pun pulang ke rumahnya lengkap berpakaian sekolah.

“Lambat kau pulang hari ni, ada kelas tambahan ke?”

“Haah ayah, dah nak dekat SPM kan,” balas Aiman pendek.

Tiba-tiba “Pppaaaappp!” Pak Hamid menampar Aiman. Aiman terjatuh di muka pintu rumahnya.

“Sejak bila ayah ajar kau menipu? Sejak bila ayah ajar kau jadi samseng? Ayah sekolahkan kau sebab nak kau berjaya bukan jadi samseng pukul anak orang!”

“Sanggup kau malukan kami Aiman. Satu kampung dah tau cerita kau tumbuk anak datuk tu. Sedar lah diri sikit, kita ni orang miskin. Mereka tu kaya, macam-macam mereka boleh buat pada kita. Ayah kecewa ada anak seperti kau Aiman!”

Menitis air mata Aiman tatkala perkataan keramat itu keluar daripada mulut ayahnya. Sememangnya pada waktu itu Aiman merasakan bahawa dirinya tidak berguna. Sedih bercampur geram. Ayahnya langsung tidak mahu mendengar penjelasan daripadanya.

“Ayah nak tau kenapa Aiman tumbuk Ikram? Ayah nak tau kenapa Aiman tipu mak dan ayah? Sebab Ikram dah hina kita sekeluarga. Dia hina pekerjaan ayah! Disebabkan Ikram tak terpilih wakil negeri, dia cari pasal dengan Aiman. Siapa yang boleh tahan sabar kalau ada orang yang hina punca rezeki kita,” rintih Aiman.

“Aiman tak kisah kalau dia hina Aiman, tapi Aiman pantang orang hina mak ayah Aiman. Lagi yang buat Aiman benci pada Ikram, dia koyakkan kasut lari Aiman. Kasut yang ayah belikan untuk Aiman. Duit hasil daripada jualan ikan kering ayah. Ayah sanggup tak cuti semata-mata ayah nak belikan 
kasut lari untuk Aiman. Walaupun ayah demam, ayah sanggup turun ke laut untuk cari duit beli kasut untuk Aiman,” ujar Aiman lagi.

“Maafkan Aiman ayah. Aiman dah kecewakan ayah,” balas Aiman lagi lalu Aiman berlalu pergi.

Pak Hamid dan Cik Bibah yang mendengar penjelasan daripada Aiman, terkedu seketika. Air mata bergenang di kelopak mata Pak Hamid menyesali tindakannya terhadap Aiman. Pak Hmaid begitu menyesal. Apakan daya, Aiman sudah keluar dari rumah itu. Cik Bibah hanya mampu mennagis meratapi.

******

Sudah seminggu Aiman tidak pulang ke rumah. Pak Hamid dan Cik Bibah setia menunggu kepulangan Aiman. Pak Hamid tekad untuk menebus kesalahannya.

“Bibah, esok awak tak payah sediakan bekalkan makanan untuk saya ya. Awak bekalkan saja air masak,” kata Pak Hamid kepada Cik Bibah. Cik Bibah kelihatan pelik dengan apa yang diperkatakan suaminya.

“Baiklah bang. Esok awak turun dengan Hassan ke?” tanya Cik Bibah.

“Esok saya turun sorang je. Hassan nak ke bandar ada urusan,” balas Pak Hamid.

“Duit yang saya bagi kat awak tu ada awak simpan lagi Bibah?” soal Pak Hamid.

“Ada je saya simpan. Kenapa tanya? Awak nak guna ke?”

“Eh tak lah. Nanti kalau Hassan datang sini awak tolong bagi kan duit tu pada Hassan ya. Risau pula saya kalau tak sempat nak bagi nanti,” balas Pak Hamid lagi.

“Duit untuk apa tu bang?”

“Ish awak ni. Sibuk betullah,” seloroh Pak Hamid.

*******

Keesokan harinya, Pak Hamid turun ke laut. Akan tetapi pada kali ini Pak Hamid turun lebih awal daripada kebiasaannya. Cik Bibah menyedari akan hal ini tetapi hanya mendiamkan diri. Selalunya, Pak Hamid akan pulang pada lewat senja.

Kini, Aiman masih lagi tidak pulang. Cik Bibah tidak tahu di mana kedudukan anaknya itu. Puas dia bertanya pada penduduk kampung. Jawapannya hanya mengecewakan. Rakan-rakan Aiman juga tidak tahu ke mana Aiman menghilang.

Petang itu seperti biasa, Cik Bibah menanti kepulangan suaminya. Hari sudah lewat senja, tetapi bayang suaminya tidak jua muncul. Ini menambah lagi kerisauan di hatinya. Setelah sudah larut malam, Pak Hamid tidak juga pulang. Cik Bibah nekad untuk memberitahu kepada orang kampung mengenai hal ini.

Gerakan mencari Pak Hamid dimulakan pada malam itu. Malangnya, mereka tidak menjumpai Pak Hamid dan bot nya. Gerakan mencari akan disambung pada keesokan harinya.

*******

Pada petang itu, sedang dia duduk berehat di beranda tiba-tiba datang ketua kampung dan 2 orang pegawai polis ke rumahnya.

“Assalamualaikum Bibah.” Jerit Tok Ketua.

“Waalaikumussalam Tok. Ada apa terkejar-kejar ni?” soal Cik Bibah.

“Bibah, aku ada benda nak bagitahu kamu ni. Aku harap kamu bersabar dengar berita ni,” balas Tok Ketua.

“Berita apa tu Tok? Macam penting je,” ujarnya.

“Sebenarnya, tadi ada beberapa nelayan kampung sebelah terjumpa mayat tersangkut di dahan pokok dan ada bot terbalik. Mayat itu sudah dikenal pasti Bibah dan mayat itu adalah mayat Hamid. Bot Hamid karam Bibah,” ujar Tok Ketua.

“Ya Allah Tok, suami saya!!” Cik Bibah lemah setelah mendengar berita tersebut.

Pada petang itu juga pihak berkuasa membawa mayat Pak Hamid ke hospital untuk dibedah siasat. Tok Ketua telah meminta beberapa orang kampung untuk mencari Aiman untuk dibawa pulang. 
Jenazah Pak Hamid akan dikebumi pada keesokan harinya selepas Zohor.

*******
Orang kampung telah menjumpai Aiman hasil daripada pertolongan guru kelas Aiman. Aiman bagaikan tidak percaya bahawa ayahnya telah meninggal dunia. Terbit perasaan bersalah dalam dirinya terhadap ayahnya. Aiman begitu menyesal atas kelakuannya pada tempoh hari. Dia tidak berhenti-henti mengalirkan air mata.

Selepas Zohor, jenazah Pak Hamid selamat dikebumikan. Setibanya Aiman di rumah, lantas Aiman meminta ampun kepada ibunya di atas tindakannya yang biadab tempoh hari.

“Mak dah lama maafkan Aiman. Ayah pun sama. Jangan sedih nak, kamu doakan ayah ya,” ujar Cik Bibah.

“Assalamualaikum” suara orang memberi salam.

“Waalaikumussalam. Ehh Pak Cik Hassan, naiklah,” pelawa Aiman.

“Eh tak mengapalah Aiman. Pakcik nak hantar bungkusan ni pada kamu. Pak Cik tak boleh lama sebab nak tolong orang masjid buat persiapan tahlil untuk arwah ayah kamu malam ni,” balas Hassan lalu menghulurkan bungkusan seperti kotak kasut.

“Siapa yang bagi ni Pak Cik?” soalnya.

Hassan berlalu pergi tanpa membalas pertanyaan Aiman.

Aiman membuka bungkusan tersebut di dalam biliknya. Pelbagai persoalan bermain di fikirannya.
Alangkah terkejutnya Aiman, di dalam kotak tersebut terdapat sepasang kasut lari yang berjenama terkemuka. Kasut yang amat diidamkannya selama ini. Di sebalik kasut tersebut, terselit sepucuk surat. Lebih memeranjatkan lagi tulisan pada surat itu adalah tulisan arwah ayahnya.

Ke hadapan anak ku Aiman,
Maafkan ayah di atas keterlanjuran ayah memarahi kamu tempoh hari. Percayalah nak, ayah tidak bermaksud untuk menghalau kamu. Setiap hari ayah tunggu kamu pulang dan setiap hari jugalah ayah turun ke laut mencari wang untuk membeli kasut lari idaman kamu. Ayah tahu, kasut yang ada sebelum ini sudah uzur tapi kamu masih memakainya. Ayah tahu, kamu tidak sanggup untuk meminta ayah membelikan kasut yang baru untuk kamu. Ayah tahu nak, kamu bergaduh dengan Ikram disebabkan kasut itu. Sepanjang tempoh ketiadaan Aiman, Ikram dan ayahnya datang ke rumah mencari kamu. Kedatangan mereka pada kali ini bukanlah untuk mengambil tindakan kepada kamu tetapi mereka ingin meminta maaf. Ayah Ikram telah mengetahui kisah yang sebenar dan beliau telah meminta maaf pada mak dan ayah. Aiman, tiada apa yang ayah mampu lakukan untuk menebus dosa ayah pada kamu, hanya ini sahaja hadiah ayah untuk kamu. Akhir kata daripada ayah, kamu jagalah mak dan adik kamu sebaiknya jika ayah tiada nanti.”

Aiman mengalirkan air matanya sebaik sahaja dia membaca isi kandungan surat tersebut. Begitu dia menyesali perbuatannya.

“Ayah, Aiman janji yang Aiman takkan kecewakan ayah. Aiman akan jaga mak dan adik seperti apa yang ayah amanahkan pada Aiman.”

Pada malam itu, majlis tahlil untuk arwah ayahnya berjalan dengan lancar. Sejak pada hari itu, Aiman telah mengambil alih tanggungjawab ayahnya. Aiman belajar dengan bersungguh-sungguh untuk merealisasikan impian ayahnya.

Kini, Aiman berjaya menjadi seorang jurutera yang berjaya. Dia membawa mak dan adiknya tinggal bersama-samanya.

“Ayah, Aiman tahu ayah mesti bangga dengan Aiman.”
    


1 comment:

  1. Playtech Casinos - Mapyro
    The most trusted online 김제 출장마사지 casinos 화성 출장안마 of 2021. Discover 군포 출장안마 the best slots, table 통영 출장안마 games, live dealer games, live dealer 포항 출장샵 casinos, poker tables, slots and live

    ReplyDelete