Wednesday, 2 December 2015

ISU SEMASA

FENOMENA BANJIR (LANGKAH KESELAMATAN)

  Banjir merupakan satu ujian yang didatangkan kepada kita untuk menguji sejauh mana tahap kesabaran kita menghadapinya. Peristiwa banjir besar yang terjadi pada sekitar tahun 2014 begitu meninggalkan kesan yang mendalam kepada mereka yang terlibat. Lebih-lebih lagi, di negeri bahagian Pantai Timur mengalami banjir yang paling teruk sehingga mengorbankan banyak nyawa. Pada tahun ini, peristiwa banjir ini kembali mengahntui kita apabila baru-baru ini di kawasan-kawasan tertentu di negeri Perak dan Kedah dilanda banjir. Persoalannya kini, sejauh mana kita menyanyangi diri kita dan keluarga apabila ditimpa bencana sebegini. Justeru, langkah keselamatan harus diambil apabila kita berada dalam situasi ini misalnya.

  Langkah yang pertama ketika dilanda banjir ialah mengawasi anak-anak daripada bermain di luar rumah. Pastikan anak-anak sentiasa berada bersama kita dan tidak bermain di luar rumah kerana dikhuatiri akan menyebabkan mereka lemas sekiranya ibu bapa tidak mengawasi pergerakan anak-anak. Anak-anak yang masih kecil tidak mengerti tentang bahayanya banjir. Fikiran mereka hanya membayanagkan bahawa betapa seronoknya mereka dapat bermain air. Sekiranya anak-anak dilepaskan bermain banjir di luar rumah, dikhuatiri akan berlaku banjir gelombang yang kuat seperti yang pernah terjadi di Kelantan suatu ketika dahulu. Justeru, ibu bapa harus mengawasi pergerakan anak-anak supaya mereka tidak bermain banjir. Jagalah keselamatan anak-anak supaya tidak berlaku sesuatu yang tidak diingini.

  Seterusnya, langkah yang harus diambil ialah jangan harungi banjir sekiranya banjir yang melanda adalah teruk. Sekiranya berada dalam situasi sebegini, tindakan yang harus diambil ialah hubungi pihak berkuasa dengan kadar yang segera. Jangan lengahkan keadaan kerana dikhuatiri paras air banjir akan meningkat. Bagi mereka yang mendiami rumah yang bertingkat, pastikan anda menyelamatkan diri ke tingkat atas bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. Setelah bantuan daripada pihak berkuasa tiba, hendaklah mendengar arahan daripada mereka sekiranya diarahkan berpindah daripada rumah masing-masing.

  Bukan itu sahaja, langkah seterusnya yang harus diambil ialah pastikan sebelum berpindah ke pusat pemindahan anda telah mengunci rumah anda. Hal ini demikian kerana, dikhuatiri akan berlakunya kejadian pecah rumah ketika banjir. Suatu ketika dahulu kejadian ini pernah berlaku apabila terdapat individu yang tidak berhati perut memecah masuk ke dalam rumah mangsa banjir. Barang-barang berharga lesap begitu sahaja. Pada situasi begini, tidak semua individu boleh dipercayai. Justeru, pastikan anda mengunci rumah anda sebelum berpindah ke pusat pemindahan mangsa banjir.

  Langkah yang seterusnya ialah mematikan suis utama di dalam rumah. Apabila dilanda banjir, pastikan anda mematikan suis utama di rumah anda bagi mengelak berlakunya kejadian litar pintas. Tindakan ini perlu diutamakan kerana melibatkan keselamatan seisi keluarga. Sebelum banjir menjadi lebih teruk, suis utama harus dimatikan terlebih dahulu kerana dikhuatiri sekiranya air banjir telah mencapai paras yang membahayakan, anda akan menjadi panik lalu terus lupa untuk mematikan suis utama. Selain berlaku litar pintas, tanpa disedari dikhuatiri juga akan terjadi renjatan elektrik yang boleh membahayakan seisi keluarga.

  Kesimpulannya, langkah keselamatan haruslah diambil apabila banjir melanda. Kita tidak harus mengambil ringan akan perkara ini kerana bencana sebegini boleh meragut nyawa kita dan keluarga. Oleh itu, sayangilah diri kitta dan juga keluarga. Jangan biarkan bencana banjir ini menjadi titik hitam dalam kehidupan kita sekeluarga.




No comments:

Post a Comment