SEPASANG KASUT LARI
Aiman memulas kasar
tombol pintu biliknya lalu dia menghempas daun pintu itu sehingga mengejutkan
adiknya yang sedang lena diulit mimpi. Ternyata tindakannya itu memeranjatkan
ibunya. Si ayah pula hanya membatukan diri menyambung bacaannya.
“Kenapa dengan anak awak
tu? Balik dari sekolah mengamuk tidak tentu pasal.”
“Entah lah. Mungkin banyak
kerja sekolah kot. Cubalah awak tanya sendiri, dia tu kan anak kesayangan awak,’
ujar Pak Hamid kepada isterinya Cik Bibah.
Cik Bibah hanya
mencebikkan mulutnya sahaja apabila suaminya berkata sedemikian. Aiman merupakan
anak sulung mereka dan dia merupakan anak manja kepada pasangan tersebut. Jarak
umur sebanyak 8 tahun menyebabkan Aiman lebih manja berbanding adiknya yang
bongsu. Apa sahaja yang diingini pasti akan dituruti oleh Pak Hamid dan Cik
Bibah.
******
“Aiman, mari turun makan
nak!” Jerit Cik Bibah memanggil Aiman makan malam. Sejak pulang dari sekolah
tadi Aiman tidak menjamah sebutir nasi pun. Cik Bibah sudah biasa dengan
perangai anaknya yang kadang kala tidak makan disebabkan terlalu penat dengan
tugasan sekolahnya.
“Aiman, mak masak lauk
kegemaran kamu ni. Mari turun cepat kita makan sama-sama.” Jerit Cik Bibah
lagi.
Kali ini Aiman langsung
tidak menyahut panggilan ibunya. Ini membuatkan Pak Hamid dan Cik Bibah
kehairanan.
“Aiman penat agaknya tu.
Marilah kita makan. Nanti lepas makan awak pergilah jenguk dia dalam bilik tu. Apa
agaknya dibuat. Sudah solat ke belum agaknya tu.” Ujar Pak Hamid kepada
isterinya.
“Baiklah bang. Esok awak
nak turun ke laut pukul berapa? Boleh saya sediakan bekal untuk awak nanti.”
“Macam biasalah. Selepas subuh
saya gerak ke laut. Tapi kali ni si Hassan ikut sama sekali. Ada juga saya
teman.”
Mereka menjamah makan
bersama. Sudah menjadi kebiasaan Cik Bibah menyediakan bekalan makanan untuk
suaminya yang merupakan seorang nelayan.
******
Setelah selesai menjamu
selera, Cik Bibah menuju ke bilik Aiman. Diketuk biliknya tetapi tidak
berjawab. Lalu Cik Bibah memulas tombol pintu bilik Aiman yang tidak berkunci
itu.
Dilihat sekujur tubuh
yang lengkap berpakaian sekolah sedang terbaring di atas katil. Cik Bibah duduk
di sisi katil mengahadap anaknya yang sedang tidur itu. Jelas kelihatan wajah
anaknya yang sembam seolah-olah baru sahaja lepas menangis. Ini menambahkan
lagi kerisauannya.
“Aiman, bangun nak. Pergi
mandi, makan kemudian buat kerja sekolah.”
Aiman masih lagi lena
dibuai mimpi. Cik Bibah amat kasahani akan Aiman kerana Aiman lah harapan
mereka suami isteri untuk mengubah nasib mereka sekeluarga. Jika Aiman tidak
belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya, bagaimanakah mereka dapat keluar
daripada kepompong kemiskinan. Adiknya pula masih kecil lagi. Oleh itu, Aiman
perlu memberi contoh yang terbaik kepada adiknya.
“Aiman, bangun nak..”
Kejutan ibunya yang kedua
telah mematikan lena Aiman. Lalu Aiman pun bangun lantas menggosok matanya yang
kabur.
“Jam berapa ni mak? Lama
ke Aiman tidur?”
“Kamu tidur dari petang
tadi. Mak jerit panggil kamu turun makan dengan ayah. Tapi kamu tak menyahut. Hmm..
boleh mak tau kenapa kamu mengamuk balik
sekolah tadi?”
“Hmm.. Aiman okay je mak. Aiman nak mandi. Nanti Aiman
turun makan. Mak tolong panaskan lauk ye.” Jawab Aiman tanpa membalas
pertanyaan ibunya. Ibunya hanya membiarkan sahaja kelakuan anaknya itu. Sebagai
seorang ibu, sudah masak benar dengan perangai anaknya yang tidak menentu. Tambahan
pula Aiman merupakan atlet harapan sekolah dalam sukan lari pecut. Sudah banyak
kali Aiman dinobatkan sebagai olahragawan di peringkat negeri. Pencapaian kokurikulumnya
juga seimbang dengan akademiknya yang mana Aiman merupakan pelajar harapan
sekolah.
******
Setelah selesai menjamah
makan malam, Aiman keluar mengambil angin di beranda rumahnya.
Hembusan bayu
laut memecah keheningan malam itu. Aiman teringat kembali peristiwa yang
berlaku pada dirinya di sekolah petang tadi. Peristiwa yang begitu menguji
tahap kesabarannya selama ini. Ikutkan hati, hendak sahaja dia melakukan lebih
daripada itu.
“Hei Aiman! Sedar lah
sikit diri tu anak nelayan. Ada hati nak wakil negeri ke peringkat kebangsaan.
Aku
lagi layak lah daripada kau!” – Ikram, anak seorang usahawan terkemuka di
negeri tersebut.
Ikram amat memusuhi Aiman
kerana Aiman merupakan seorang pelajar yang seimbang akademik dan
kokurikulumnya malahan guru-guru di sekolah Aiman amat menyayangi Aiman. Boleh dikatakan
Aiman bagaikan anak emas Sekolah Menengah Desa Wawasan itu.
Pada petang tadi, Aiman
telah menumbuk Ikram dan menyebabkan Ikram mengalami kecederaan yang teruk. Pihak
sekolah telah mengambil tindakan terhadap Aiman. Bukan itu sahaja, ayah Ikram
pula mengugut akan membuat laporan polis mengenai Aiman sekiranya Aiman tidak
meminta maaf kepada Ikram dan membayar ganti rugi kecederaan.
“Buat apa saya nak minta
maaf dengan orang yang dah hina keluarga saya! Saya tak kisah kalau Cikgu nak
buang saya daripada sekolah ni!”
“Datuk tolong didik anak
datuk ni supaya beradab dan hormat orang. Jangan nak hina seseorang sesuka
hati! Pangkat dan kekayaan yang datuk ada tu tak kan kekal selamanya.”
“Aku rasa mak ayah kau
yang salah mendidik kau, Aiman. Aku akan ambil tindakan undang-undang terhadap
kau. Kalau sesuatu yang serious
terjadi pada anak aku, aku takkan lepaskan kau!”
Peristiwa itu benar-benar
memberi tamparan yang hebat pada Aiman. Tiba-tiba lamunannya terhenti apabila
disapa oleh Pak Hamid.
“Jauh kau termenung Aiman.
Apa yang kau fikirkan tu?” Soal Pak Hamid.
“Tiada apa ayah, saja je
Aiman hirup udara malam ni. Panas kat dalam rumah.” Balas Aiman cuba
menyembunyikan sesuatu.
“Marilah masuk Aiman,
sudah larut malam ni. Lagipun tak elok kalau asyik terdedah dengan angina malam.
Takut-takut nanti jatuh sakit pula. Aiman kan nak SPM tahun ni.”
Riak wajah Aiman berubah
apabila ayahnya bercakap mengenai SPM. Ya, Aiman akan menduduki SPM hujung
tahun ini. Tapi apakan daya, disebabkan peristiwa di sekolah tadi menyebabkan
masa hadapannya gelap. Dia tidak akan menduduki peperiksaan besar itu. Dia mungkin
akan dibuang sekolah!
*******
Pada hari ini, Aiman
tidak pergi ke sekolah. Ibunya menyangkakan yang Aiman mungkin tidak berasa
sedap badan kerana hanya melihat anaknya banyak berkurung di dalam bilik
sahaja. Pak Hamid pula awal pagi lagi sudah turun ke laut dengan rakannya.
Semenjak dari peristiwa
itu, Aiman banyak mendiamkan diri. Dia cuba mengumpul semangatnya semula untuk
kembali ke sekolah.
Mahu tidak mahu, esok Aiman
mesti pergi ke sekolah. Jika tidak, apa pula mak dan ayahnya fikir.
******
Keesokan harinya, sedang
Cik Bibah menyapu sampah di halaman rumah, guru kelas Aiman, Puan Salmi datang
menemui Cik Bibah. Kedatangannya disambut mesra oleh Cik Bibah. Pada waktu itu,
Aiman tiada di rumah. Pagi tadi Aiman bersiap awal untuk ke sekolah.
“Assalamualaikum Cik
Bibah, Aiman ada di rumah?”
“Waalaikumussalam cikgu, eh
Aiman kan ada di sekolah. Kenapa cikgu cari Aiman sampai ke sini? Cikgu tak
jumpa dia di sekolah ke?” Soalnya pelik.
“Cik Bibah, sudah 2 hari Aiman
tidak hadir ke sekolah. Sebab itu lah saya datang sini untuk bertanyakan khabar
Aiman. Lagipun, saya datang bawa surat daripada pihak sekolah,” balas Puan
Salmi.
“Surat apa tu cikgu?”
Lalu Puan Salmi menghulur
surat tersebut kepada Cik Bibah. Seusai membuka surat tersebut dan membaca
kandungan surat itu, alangkah terkejutnya Cik Bibah apabila mengetahui mengenai
masalah disiplin yang telah Aiman lakukan. Retak hatinya apabila mengetahui
mengenai berita ini. Begitu tak disangka anak yang diberi didikan agama
secukupnya sanggup melakukan perkara sedemikian. Memukul anak orang sehingga mengakibatkan
kecederaan teruk.
Berita ini telah sampai
kepada Pak Hamid. Pak Hamid amat berang dengan sikap anaknya. Setelah membersihkan
diri, Pak Hamid terus duduk di beranda menanti kepulangan anaknya itu. Ingin diajar
secukupnya anaknya yang telah memalukan mereka sekeluarga.
Tidak lama kemudian,
Aiman pun pulang ke rumahnya lengkap berpakaian sekolah.
“Lambat kau pulang hari
ni, ada kelas tambahan ke?”
“Haah ayah, dah nak dekat
SPM kan,” balas Aiman pendek.
Tiba-tiba “Pppaaaappp!”
Pak Hamid menampar Aiman. Aiman terjatuh di muka pintu rumahnya.
“Sejak bila ayah ajar kau
menipu? Sejak bila ayah ajar kau jadi samseng? Ayah sekolahkan kau sebab nak
kau berjaya bukan jadi samseng pukul anak orang!”
“Sanggup kau malukan kami
Aiman. Satu kampung dah tau cerita kau tumbuk anak datuk tu. Sedar lah diri
sikit, kita ni orang miskin. Mereka tu kaya, macam-macam mereka boleh buat pada
kita. Ayah kecewa ada anak seperti kau Aiman!”
Menitis air mata Aiman
tatkala perkataan keramat itu keluar daripada mulut ayahnya. Sememangnya pada
waktu itu Aiman merasakan bahawa dirinya tidak berguna. Sedih bercampur geram. Ayahnya
langsung tidak mahu mendengar penjelasan daripadanya.
“Ayah nak tau kenapa
Aiman tumbuk Ikram? Ayah nak tau kenapa Aiman tipu mak dan ayah? Sebab Ikram
dah hina kita sekeluarga. Dia hina pekerjaan ayah! Disebabkan Ikram tak
terpilih wakil negeri, dia cari pasal dengan Aiman. Siapa yang boleh tahan sabar
kalau ada orang yang hina punca rezeki kita,” rintih Aiman.
“Aiman tak kisah kalau
dia hina Aiman, tapi Aiman pantang orang hina mak ayah Aiman. Lagi yang buat Aiman
benci pada Ikram, dia koyakkan kasut lari Aiman. Kasut yang ayah belikan untuk
Aiman. Duit hasil daripada jualan ikan kering ayah. Ayah sanggup tak cuti
semata-mata ayah nak belikan
kasut lari untuk Aiman. Walaupun ayah demam, ayah
sanggup turun ke laut untuk cari duit beli kasut untuk Aiman,” ujar Aiman lagi.
“Maafkan Aiman ayah.
Aiman dah kecewakan ayah,” balas Aiman lagi lalu Aiman berlalu pergi.
Pak Hamid dan Cik Bibah
yang mendengar penjelasan daripada Aiman, terkedu seketika. Air mata bergenang
di kelopak mata Pak Hamid menyesali tindakannya terhadap Aiman. Pak Hmaid
begitu menyesal. Apakan daya, Aiman sudah keluar dari rumah itu. Cik Bibah
hanya mampu mennagis meratapi.
******
Sudah seminggu Aiman
tidak pulang ke rumah. Pak Hamid dan Cik Bibah setia menunggu kepulangan Aiman.
Pak Hamid tekad untuk menebus kesalahannya.
“Bibah, esok awak tak payah
sediakan bekalkan makanan untuk saya ya. Awak bekalkan saja air masak,” kata
Pak Hamid kepada Cik Bibah. Cik Bibah kelihatan pelik dengan apa yang
diperkatakan suaminya.
“Baiklah bang. Esok awak
turun dengan Hassan ke?” tanya Cik Bibah.
“Esok saya turun sorang
je. Hassan nak ke bandar ada urusan,” balas Pak Hamid.
“Duit yang saya bagi kat
awak tu ada awak simpan lagi Bibah?” soal Pak Hamid.
“Ada je saya simpan. Kenapa
tanya? Awak nak guna ke?”
“Eh tak lah. Nanti kalau
Hassan datang sini awak tolong bagi kan duit tu pada Hassan ya. Risau pula saya
kalau tak sempat nak bagi nanti,” balas Pak Hamid lagi.
“Duit untuk apa tu bang?”
“Ish awak ni. Sibuk betullah,”
seloroh Pak Hamid.
*******
Keesokan harinya, Pak
Hamid turun ke laut. Akan tetapi pada kali ini Pak Hamid turun lebih awal
daripada kebiasaannya. Cik Bibah menyedari akan hal ini tetapi hanya mendiamkan
diri. Selalunya, Pak Hamid akan pulang pada lewat senja.
Kini, Aiman masih lagi
tidak pulang. Cik Bibah tidak tahu di mana kedudukan anaknya itu. Puas dia
bertanya pada penduduk kampung. Jawapannya hanya mengecewakan. Rakan-rakan
Aiman juga tidak tahu ke mana Aiman menghilang.
Petang itu seperti biasa,
Cik Bibah menanti kepulangan suaminya. Hari sudah lewat senja, tetapi bayang suaminya
tidak jua muncul. Ini menambah lagi kerisauan di hatinya. Setelah sudah larut
malam, Pak Hamid tidak juga pulang. Cik Bibah nekad untuk memberitahu kepada
orang kampung mengenai hal ini.
Gerakan mencari Pak Hamid
dimulakan pada malam itu. Malangnya, mereka tidak menjumpai Pak Hamid dan bot
nya. Gerakan mencari akan disambung pada keesokan harinya.
*******
Pada petang itu, sedang
dia duduk berehat di beranda tiba-tiba datang ketua kampung dan 2 orang pegawai
polis ke rumahnya.
“Assalamualaikum Bibah.”
Jerit Tok Ketua.
“Waalaikumussalam Tok. Ada
apa terkejar-kejar ni?” soal Cik Bibah.
“Bibah, aku ada benda nak
bagitahu kamu ni. Aku harap kamu bersabar dengar berita ni,” balas Tok Ketua.
“Berita apa tu Tok? Macam
penting je,” ujarnya.
“Sebenarnya, tadi ada
beberapa nelayan kampung sebelah terjumpa mayat tersangkut di dahan pokok dan
ada bot terbalik. Mayat itu sudah dikenal pasti Bibah dan mayat itu adalah
mayat Hamid. Bot Hamid karam Bibah,” ujar Tok Ketua.
“Ya Allah Tok, suami
saya!!” Cik Bibah lemah setelah mendengar berita tersebut.
Pada petang itu juga
pihak berkuasa membawa mayat Pak Hamid ke hospital untuk dibedah siasat. Tok Ketua
telah meminta beberapa orang kampung untuk mencari Aiman untuk dibawa pulang.
Jenazah
Pak Hamid akan dikebumi pada keesokan harinya selepas Zohor.
*******
Orang kampung telah menjumpai
Aiman hasil daripada pertolongan guru kelas Aiman. Aiman bagaikan tidak percaya
bahawa ayahnya telah meninggal dunia. Terbit perasaan bersalah dalam dirinya
terhadap ayahnya. Aiman begitu menyesal atas kelakuannya pada tempoh hari. Dia tidak
berhenti-henti mengalirkan air mata.
Selepas Zohor, jenazah
Pak Hamid selamat dikebumikan. Setibanya Aiman di rumah, lantas Aiman meminta
ampun kepada ibunya di atas tindakannya yang biadab tempoh hari.
“Mak dah lama maafkan
Aiman. Ayah pun sama. Jangan sedih nak, kamu doakan ayah ya,” ujar Cik Bibah.
“Assalamualaikum” suara
orang memberi salam.
“Waalaikumussalam. Ehh Pak
Cik Hassan, naiklah,” pelawa Aiman.
“Eh tak mengapalah Aiman.
Pakcik nak hantar bungkusan ni pada kamu. Pak Cik tak boleh lama sebab nak
tolong orang masjid buat persiapan tahlil untuk arwah ayah kamu malam ni,”
balas Hassan lalu menghulurkan bungkusan seperti kotak kasut.
“Siapa yang bagi ni Pak
Cik?” soalnya.
Hassan berlalu pergi
tanpa membalas pertanyaan Aiman.
Aiman membuka bungkusan
tersebut di dalam biliknya. Pelbagai persoalan bermain di fikirannya.
Alangkah terkejutnya
Aiman, di dalam kotak tersebut terdapat sepasang kasut lari yang berjenama
terkemuka. Kasut yang amat diidamkannya selama ini. Di sebalik kasut tersebut,
terselit sepucuk surat. Lebih memeranjatkan lagi tulisan pada surat itu adalah
tulisan arwah ayahnya.
“Ke hadapan anak ku Aiman,
Maafkan
ayah di atas keterlanjuran ayah memarahi kamu tempoh hari. Percayalah nak, ayah
tidak bermaksud untuk menghalau kamu. Setiap hari ayah tunggu kamu pulang dan
setiap hari jugalah ayah turun ke laut mencari wang untuk membeli kasut lari
idaman kamu. Ayah tahu, kasut yang ada sebelum ini sudah uzur tapi kamu masih
memakainya. Ayah tahu, kamu tidak sanggup untuk meminta ayah membelikan kasut
yang baru untuk kamu. Ayah tahu nak, kamu bergaduh dengan Ikram disebabkan kasut
itu. Sepanjang tempoh ketiadaan Aiman, Ikram dan ayahnya datang ke rumah
mencari kamu. Kedatangan mereka pada kali ini bukanlah untuk mengambil tindakan
kepada kamu tetapi mereka ingin meminta maaf. Ayah Ikram telah mengetahui kisah
yang sebenar dan beliau telah meminta maaf pada mak dan ayah. Aiman, tiada apa
yang ayah mampu lakukan untuk menebus dosa ayah pada kamu, hanya ini sahaja
hadiah ayah untuk kamu. Akhir kata daripada ayah, kamu jagalah mak dan adik
kamu sebaiknya jika ayah tiada nanti.”
Aiman mengalirkan air
matanya sebaik sahaja dia membaca isi kandungan surat tersebut. Begitu dia
menyesali perbuatannya.
“Ayah, Aiman janji yang
Aiman takkan kecewakan ayah. Aiman akan jaga mak dan adik seperti apa yang ayah
amanahkan pada Aiman.”
Pada malam itu, majlis
tahlil untuk arwah ayahnya berjalan dengan lancar. Sejak pada hari itu, Aiman
telah mengambil alih tanggungjawab ayahnya. Aiman belajar dengan
bersungguh-sungguh untuk merealisasikan impian ayahnya.
Kini, Aiman berjaya
menjadi seorang jurutera yang berjaya. Dia membawa mak dan adiknya tinggal
bersama-samanya.
“Ayah, Aiman tahu ayah
mesti bangga dengan Aiman.”
Playtech Casinos - Mapyro
ReplyDeleteThe most trusted online 김제 출장마사지 casinos 화성 출장안마 of 2021. Discover 군포 출장안마 the best slots, table 통영 출장안마 games, live dealer games, live dealer 포항 출장샵 casinos, poker tables, slots and live