Wednesday, 9 December 2015

SAJAK REJAB F.I

Tanah utara asalnya
12 september menjadi saksi
Lahirnya perwira sasterawan negara
Benih bumi menjadi inspirasi
Keperitan hidup menjadi pedoman
Kisah rakyat menjadi puisi
Realiti hidup menjadi lakonan
Cerita pendek menjadi tanyangan
Terhasilnya nukilan agung
1964 terdirinya mahligai cinta
Termentarainya perjanjian cinta
Tercatatnya abjab F di pena
Sang bidadari menjadi ilham
Rejab F.I 
Rejab F.I
Rejab F.I
Namamu menjadi sebutan
Megahnya berdiri di arena sastera
Bersama karya teragung.

Sunday, 6 December 2015

CERPEN PENDEK

SEPASANG KASUT LARI


Aiman memulas kasar tombol pintu biliknya lalu dia menghempas daun pintu itu sehingga mengejutkan adiknya yang sedang lena diulit mimpi. Ternyata tindakannya itu memeranjatkan ibunya. Si ayah pula hanya membatukan diri menyambung bacaannya.

“Kenapa dengan anak awak tu? Balik dari sekolah mengamuk tidak tentu pasal.”

“Entah lah. Mungkin banyak kerja sekolah kot. Cubalah awak tanya sendiri, dia tu kan anak kesayangan awak,’ ujar Pak Hamid kepada isterinya Cik Bibah.

Cik Bibah hanya mencebikkan mulutnya sahaja apabila suaminya berkata sedemikian. Aiman merupakan anak sulung mereka dan dia merupakan anak manja kepada pasangan tersebut. Jarak umur sebanyak 8 tahun menyebabkan Aiman lebih manja berbanding adiknya yang bongsu. Apa sahaja yang diingini pasti akan dituruti oleh Pak Hamid dan Cik Bibah.

******

“Aiman, mari turun makan nak!” Jerit Cik Bibah memanggil Aiman makan malam. Sejak pulang dari sekolah tadi Aiman tidak menjamah sebutir nasi pun. Cik Bibah sudah biasa dengan perangai anaknya yang kadang kala tidak makan disebabkan terlalu penat dengan tugasan sekolahnya.

“Aiman, mak masak lauk kegemaran kamu ni. Mari turun cepat kita makan sama-sama.” Jerit Cik Bibah lagi.

Kali ini Aiman langsung tidak menyahut panggilan ibunya. Ini membuatkan Pak Hamid dan Cik Bibah kehairanan.

“Aiman penat agaknya tu. Marilah kita makan. Nanti lepas makan awak pergilah jenguk dia dalam bilik tu. Apa agaknya dibuat. Sudah solat ke belum agaknya tu.” Ujar Pak Hamid kepada isterinya.

“Baiklah bang. Esok awak nak turun ke laut pukul berapa? Boleh saya sediakan bekal untuk awak nanti.”

“Macam biasalah. Selepas subuh saya gerak ke laut. Tapi kali ni si Hassan ikut sama sekali. Ada juga saya teman.”

Mereka menjamah makan bersama. Sudah menjadi kebiasaan Cik Bibah menyediakan bekalan makanan untuk suaminya yang merupakan seorang nelayan.

******
Setelah selesai menjamu selera, Cik Bibah menuju ke bilik Aiman. Diketuk biliknya tetapi tidak berjawab. Lalu Cik Bibah memulas tombol pintu bilik Aiman yang tidak berkunci itu.

Dilihat sekujur tubuh yang lengkap berpakaian sekolah sedang terbaring di atas katil. Cik Bibah duduk di sisi katil mengahadap anaknya yang sedang tidur itu. Jelas kelihatan wajah anaknya yang sembam seolah-olah baru sahaja lepas menangis. Ini menambahkan lagi kerisauannya.

“Aiman, bangun nak. Pergi mandi, makan kemudian buat kerja sekolah.”

Aiman masih lagi lena dibuai mimpi. Cik Bibah amat kasahani akan Aiman kerana Aiman lah harapan mereka suami isteri untuk mengubah nasib mereka sekeluarga. Jika Aiman tidak belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya, bagaimanakah mereka dapat keluar daripada kepompong kemiskinan. Adiknya pula masih kecil lagi. Oleh itu, Aiman perlu memberi contoh yang terbaik kepada adiknya.

“Aiman, bangun nak..”

Kejutan ibunya yang kedua telah mematikan lena Aiman. Lalu Aiman pun bangun lantas menggosok matanya yang kabur.

“Jam berapa ni mak? Lama ke Aiman tidur?”

“Kamu tidur dari petang tadi. Mak jerit panggil kamu turun makan dengan ayah. Tapi kamu tak menyahut. Hmm.. boleh  mak tau kenapa kamu mengamuk balik sekolah tadi?”

“Hmm.. Aiman okay je mak. Aiman nak mandi. Nanti Aiman turun makan. Mak tolong panaskan lauk ye.” Jawab Aiman tanpa membalas pertanyaan ibunya. Ibunya hanya membiarkan sahaja kelakuan anaknya itu. Sebagai seorang ibu, sudah masak benar dengan perangai anaknya yang tidak menentu. Tambahan pula Aiman merupakan atlet harapan sekolah dalam sukan lari pecut. Sudah banyak kali Aiman dinobatkan sebagai olahragawan di peringkat negeri. Pencapaian kokurikulumnya juga seimbang dengan akademiknya yang mana Aiman merupakan pelajar harapan sekolah.

******

Setelah selesai menjamah makan malam, Aiman keluar mengambil angin di beranda rumahnya. 
Hembusan bayu laut memecah keheningan malam itu. Aiman teringat kembali peristiwa yang berlaku pada dirinya di sekolah petang tadi. Peristiwa yang begitu menguji tahap kesabarannya selama ini. Ikutkan hati, hendak sahaja dia melakukan lebih daripada itu.

“Hei Aiman! Sedar lah sikit diri tu anak nelayan. Ada hati nak wakil negeri ke peringkat kebangsaan. 
 Aku lagi layak lah daripada kau!” – Ikram, anak seorang usahawan terkemuka di negeri tersebut.

Ikram amat memusuhi Aiman kerana Aiman merupakan seorang pelajar yang seimbang akademik dan kokurikulumnya malahan guru-guru di sekolah Aiman amat menyayangi Aiman. Boleh dikatakan Aiman bagaikan anak emas Sekolah Menengah Desa Wawasan itu.

Pada petang tadi, Aiman telah menumbuk Ikram dan menyebabkan Ikram mengalami kecederaan yang teruk. Pihak sekolah telah mengambil tindakan terhadap Aiman. Bukan itu sahaja, ayah Ikram pula mengugut akan membuat laporan polis mengenai Aiman sekiranya Aiman tidak meminta maaf kepada Ikram dan membayar ganti rugi kecederaan.

“Buat apa saya nak minta maaf dengan orang yang dah hina keluarga saya! Saya tak kisah kalau Cikgu nak buang saya daripada sekolah ni!”

“Datuk tolong didik anak datuk ni supaya beradab dan hormat orang. Jangan nak hina seseorang sesuka hati! Pangkat dan kekayaan yang datuk ada tu tak kan kekal selamanya.”

“Aku rasa mak ayah kau yang salah mendidik kau, Aiman. Aku akan ambil tindakan undang-undang terhadap kau. Kalau sesuatu yang serious terjadi pada anak aku, aku takkan lepaskan kau!”

Peristiwa itu benar-benar memberi tamparan yang hebat pada Aiman. Tiba-tiba lamunannya terhenti apabila disapa oleh Pak Hamid.

“Jauh kau termenung Aiman. Apa yang kau fikirkan tu?” Soal Pak Hamid.

“Tiada apa ayah, saja je Aiman hirup udara malam ni. Panas kat dalam rumah.” Balas Aiman cuba menyembunyikan sesuatu.

“Marilah masuk Aiman, sudah larut malam ni. Lagipun tak elok kalau asyik terdedah dengan angina malam. Takut-takut nanti jatuh sakit pula. Aiman kan nak SPM tahun ni.”

Riak wajah Aiman berubah apabila ayahnya bercakap mengenai SPM. Ya, Aiman akan menduduki SPM hujung tahun ini. Tapi apakan daya, disebabkan peristiwa di sekolah tadi menyebabkan masa hadapannya gelap. Dia tidak akan menduduki peperiksaan besar itu. Dia mungkin akan dibuang sekolah!

*******

Pada hari ini, Aiman tidak pergi ke sekolah. Ibunya menyangkakan yang Aiman mungkin tidak berasa sedap badan kerana hanya melihat anaknya banyak berkurung di dalam bilik sahaja. Pak Hamid pula awal pagi lagi sudah turun ke laut dengan rakannya.

Semenjak dari peristiwa itu, Aiman banyak mendiamkan diri. Dia cuba mengumpul semangatnya semula untuk kembali ke sekolah.

Mahu tidak mahu, esok Aiman mesti pergi ke sekolah. Jika tidak, apa pula mak dan ayahnya fikir.

******
Keesokan harinya, sedang Cik Bibah menyapu sampah di halaman rumah, guru kelas Aiman, Puan Salmi datang menemui Cik Bibah. Kedatangannya disambut mesra oleh Cik Bibah. Pada waktu itu, Aiman tiada di rumah. Pagi tadi Aiman bersiap awal untuk ke sekolah.

“Assalamualaikum Cik Bibah, Aiman ada di rumah?”

“Waalaikumussalam cikgu, eh Aiman kan ada di sekolah. Kenapa cikgu cari Aiman sampai ke sini? Cikgu tak jumpa dia di sekolah ke?” Soalnya pelik.

“Cik Bibah, sudah 2 hari Aiman tidak hadir ke sekolah. Sebab itu lah saya datang sini untuk bertanyakan khabar Aiman. Lagipun, saya datang bawa surat daripada pihak sekolah,” balas Puan Salmi.

“Surat apa tu cikgu?”

Lalu Puan Salmi menghulur surat tersebut kepada Cik Bibah. Seusai membuka surat tersebut dan membaca kandungan surat itu, alangkah terkejutnya Cik Bibah apabila mengetahui mengenai masalah disiplin yang telah Aiman lakukan. Retak hatinya apabila mengetahui mengenai berita ini. Begitu tak disangka anak yang diberi didikan agama secukupnya sanggup melakukan perkara sedemikian. Memukul anak orang sehingga mengakibatkan kecederaan teruk.

Berita ini telah sampai kepada Pak Hamid. Pak Hamid amat berang dengan sikap anaknya. Setelah membersihkan diri, Pak Hamid terus duduk di beranda menanti kepulangan anaknya itu. Ingin diajar secukupnya anaknya yang telah memalukan mereka sekeluarga.

Tidak lama kemudian, Aiman pun pulang ke rumahnya lengkap berpakaian sekolah.

“Lambat kau pulang hari ni, ada kelas tambahan ke?”

“Haah ayah, dah nak dekat SPM kan,” balas Aiman pendek.

Tiba-tiba “Pppaaaappp!” Pak Hamid menampar Aiman. Aiman terjatuh di muka pintu rumahnya.

“Sejak bila ayah ajar kau menipu? Sejak bila ayah ajar kau jadi samseng? Ayah sekolahkan kau sebab nak kau berjaya bukan jadi samseng pukul anak orang!”

“Sanggup kau malukan kami Aiman. Satu kampung dah tau cerita kau tumbuk anak datuk tu. Sedar lah diri sikit, kita ni orang miskin. Mereka tu kaya, macam-macam mereka boleh buat pada kita. Ayah kecewa ada anak seperti kau Aiman!”

Menitis air mata Aiman tatkala perkataan keramat itu keluar daripada mulut ayahnya. Sememangnya pada waktu itu Aiman merasakan bahawa dirinya tidak berguna. Sedih bercampur geram. Ayahnya langsung tidak mahu mendengar penjelasan daripadanya.

“Ayah nak tau kenapa Aiman tumbuk Ikram? Ayah nak tau kenapa Aiman tipu mak dan ayah? Sebab Ikram dah hina kita sekeluarga. Dia hina pekerjaan ayah! Disebabkan Ikram tak terpilih wakil negeri, dia cari pasal dengan Aiman. Siapa yang boleh tahan sabar kalau ada orang yang hina punca rezeki kita,” rintih Aiman.

“Aiman tak kisah kalau dia hina Aiman, tapi Aiman pantang orang hina mak ayah Aiman. Lagi yang buat Aiman benci pada Ikram, dia koyakkan kasut lari Aiman. Kasut yang ayah belikan untuk Aiman. Duit hasil daripada jualan ikan kering ayah. Ayah sanggup tak cuti semata-mata ayah nak belikan 
kasut lari untuk Aiman. Walaupun ayah demam, ayah sanggup turun ke laut untuk cari duit beli kasut untuk Aiman,” ujar Aiman lagi.

“Maafkan Aiman ayah. Aiman dah kecewakan ayah,” balas Aiman lagi lalu Aiman berlalu pergi.

Pak Hamid dan Cik Bibah yang mendengar penjelasan daripada Aiman, terkedu seketika. Air mata bergenang di kelopak mata Pak Hamid menyesali tindakannya terhadap Aiman. Pak Hmaid begitu menyesal. Apakan daya, Aiman sudah keluar dari rumah itu. Cik Bibah hanya mampu mennagis meratapi.

******

Sudah seminggu Aiman tidak pulang ke rumah. Pak Hamid dan Cik Bibah setia menunggu kepulangan Aiman. Pak Hamid tekad untuk menebus kesalahannya.

“Bibah, esok awak tak payah sediakan bekalkan makanan untuk saya ya. Awak bekalkan saja air masak,” kata Pak Hamid kepada Cik Bibah. Cik Bibah kelihatan pelik dengan apa yang diperkatakan suaminya.

“Baiklah bang. Esok awak turun dengan Hassan ke?” tanya Cik Bibah.

“Esok saya turun sorang je. Hassan nak ke bandar ada urusan,” balas Pak Hamid.

“Duit yang saya bagi kat awak tu ada awak simpan lagi Bibah?” soal Pak Hamid.

“Ada je saya simpan. Kenapa tanya? Awak nak guna ke?”

“Eh tak lah. Nanti kalau Hassan datang sini awak tolong bagi kan duit tu pada Hassan ya. Risau pula saya kalau tak sempat nak bagi nanti,” balas Pak Hamid lagi.

“Duit untuk apa tu bang?”

“Ish awak ni. Sibuk betullah,” seloroh Pak Hamid.

*******

Keesokan harinya, Pak Hamid turun ke laut. Akan tetapi pada kali ini Pak Hamid turun lebih awal daripada kebiasaannya. Cik Bibah menyedari akan hal ini tetapi hanya mendiamkan diri. Selalunya, Pak Hamid akan pulang pada lewat senja.

Kini, Aiman masih lagi tidak pulang. Cik Bibah tidak tahu di mana kedudukan anaknya itu. Puas dia bertanya pada penduduk kampung. Jawapannya hanya mengecewakan. Rakan-rakan Aiman juga tidak tahu ke mana Aiman menghilang.

Petang itu seperti biasa, Cik Bibah menanti kepulangan suaminya. Hari sudah lewat senja, tetapi bayang suaminya tidak jua muncul. Ini menambah lagi kerisauan di hatinya. Setelah sudah larut malam, Pak Hamid tidak juga pulang. Cik Bibah nekad untuk memberitahu kepada orang kampung mengenai hal ini.

Gerakan mencari Pak Hamid dimulakan pada malam itu. Malangnya, mereka tidak menjumpai Pak Hamid dan bot nya. Gerakan mencari akan disambung pada keesokan harinya.

*******

Pada petang itu, sedang dia duduk berehat di beranda tiba-tiba datang ketua kampung dan 2 orang pegawai polis ke rumahnya.

“Assalamualaikum Bibah.” Jerit Tok Ketua.

“Waalaikumussalam Tok. Ada apa terkejar-kejar ni?” soal Cik Bibah.

“Bibah, aku ada benda nak bagitahu kamu ni. Aku harap kamu bersabar dengar berita ni,” balas Tok Ketua.

“Berita apa tu Tok? Macam penting je,” ujarnya.

“Sebenarnya, tadi ada beberapa nelayan kampung sebelah terjumpa mayat tersangkut di dahan pokok dan ada bot terbalik. Mayat itu sudah dikenal pasti Bibah dan mayat itu adalah mayat Hamid. Bot Hamid karam Bibah,” ujar Tok Ketua.

“Ya Allah Tok, suami saya!!” Cik Bibah lemah setelah mendengar berita tersebut.

Pada petang itu juga pihak berkuasa membawa mayat Pak Hamid ke hospital untuk dibedah siasat. Tok Ketua telah meminta beberapa orang kampung untuk mencari Aiman untuk dibawa pulang. 
Jenazah Pak Hamid akan dikebumi pada keesokan harinya selepas Zohor.

*******
Orang kampung telah menjumpai Aiman hasil daripada pertolongan guru kelas Aiman. Aiman bagaikan tidak percaya bahawa ayahnya telah meninggal dunia. Terbit perasaan bersalah dalam dirinya terhadap ayahnya. Aiman begitu menyesal atas kelakuannya pada tempoh hari. Dia tidak berhenti-henti mengalirkan air mata.

Selepas Zohor, jenazah Pak Hamid selamat dikebumikan. Setibanya Aiman di rumah, lantas Aiman meminta ampun kepada ibunya di atas tindakannya yang biadab tempoh hari.

“Mak dah lama maafkan Aiman. Ayah pun sama. Jangan sedih nak, kamu doakan ayah ya,” ujar Cik Bibah.

“Assalamualaikum” suara orang memberi salam.

“Waalaikumussalam. Ehh Pak Cik Hassan, naiklah,” pelawa Aiman.

“Eh tak mengapalah Aiman. Pakcik nak hantar bungkusan ni pada kamu. Pak Cik tak boleh lama sebab nak tolong orang masjid buat persiapan tahlil untuk arwah ayah kamu malam ni,” balas Hassan lalu menghulurkan bungkusan seperti kotak kasut.

“Siapa yang bagi ni Pak Cik?” soalnya.

Hassan berlalu pergi tanpa membalas pertanyaan Aiman.

Aiman membuka bungkusan tersebut di dalam biliknya. Pelbagai persoalan bermain di fikirannya.
Alangkah terkejutnya Aiman, di dalam kotak tersebut terdapat sepasang kasut lari yang berjenama terkemuka. Kasut yang amat diidamkannya selama ini. Di sebalik kasut tersebut, terselit sepucuk surat. Lebih memeranjatkan lagi tulisan pada surat itu adalah tulisan arwah ayahnya.

Ke hadapan anak ku Aiman,
Maafkan ayah di atas keterlanjuran ayah memarahi kamu tempoh hari. Percayalah nak, ayah tidak bermaksud untuk menghalau kamu. Setiap hari ayah tunggu kamu pulang dan setiap hari jugalah ayah turun ke laut mencari wang untuk membeli kasut lari idaman kamu. Ayah tahu, kasut yang ada sebelum ini sudah uzur tapi kamu masih memakainya. Ayah tahu, kamu tidak sanggup untuk meminta ayah membelikan kasut yang baru untuk kamu. Ayah tahu nak, kamu bergaduh dengan Ikram disebabkan kasut itu. Sepanjang tempoh ketiadaan Aiman, Ikram dan ayahnya datang ke rumah mencari kamu. Kedatangan mereka pada kali ini bukanlah untuk mengambil tindakan kepada kamu tetapi mereka ingin meminta maaf. Ayah Ikram telah mengetahui kisah yang sebenar dan beliau telah meminta maaf pada mak dan ayah. Aiman, tiada apa yang ayah mampu lakukan untuk menebus dosa ayah pada kamu, hanya ini sahaja hadiah ayah untuk kamu. Akhir kata daripada ayah, kamu jagalah mak dan adik kamu sebaiknya jika ayah tiada nanti.”

Aiman mengalirkan air matanya sebaik sahaja dia membaca isi kandungan surat tersebut. Begitu dia menyesali perbuatannya.

“Ayah, Aiman janji yang Aiman takkan kecewakan ayah. Aiman akan jaga mak dan adik seperti apa yang ayah amanahkan pada Aiman.”

Pada malam itu, majlis tahlil untuk arwah ayahnya berjalan dengan lancar. Sejak pada hari itu, Aiman telah mengambil alih tanggungjawab ayahnya. Aiman belajar dengan bersungguh-sungguh untuk merealisasikan impian ayahnya.

Kini, Aiman berjaya menjadi seorang jurutera yang berjaya. Dia membawa mak dan adiknya tinggal bersama-samanya.

“Ayah, Aiman tahu ayah mesti bangga dengan Aiman.”
    


Saturday, 5 December 2015

PENULISAN KREATIF

SAJAK:

Malaysia Tanah Air Ku


Malaysia tanah air ku
Tempat mengalirnya darah si perwira
Bermatian-matian menuntut bela
Daripada si penjajah durjana

Malaysia tanah air ku
Peritnya si perwira menyabung nyawa
Keluarga ditinggalkan menyahut seruan negara
Senjata keris, tombak, senapang bersahaja
Melawan musuh negara
Demi bangsa
Demi agama
Demi negara

Malaysia tanah air ku
Kini 58 tahun kita merdeka
31 Ogos dinanti penuh makna
Laungan keramat bergema menggetar jiwa
Merdeka!
Merdeka!
Merdeka!

Malaysia tanah air ku
Bumi bertuah tanah tumpahnya darahku.


Ainun Baity binti Hasim
5 Disember 2015
1140

MASALAH SOSIAL

KEBURUKAN ONLINE GAME TERHADAP REMAJA

  Kewujudan laman sosial yang asalnya adalah untuk memudahkan seseorang itu memperoleh maklumat kini telah mengalami proses evolusi apabila internet telah digunakan secara meluas untuk melayari laman sosial seperti Facebook, Twitter dan sebagainya. Penggunaan internet juga semakin  galak apabila terdapat permainan atas talian (online game) yang kini menjadikan segelintir remaja terlalu obses dengan permainan sebegini. Mereka sanggup menghabiskan masa di hadapan skrin komputer dan telefon bimbit untuk bermain permainan tersebut. Bukan itu sahaja, terdapat dalam kalangan mereka yang sanggup berhabis wang megunjungi cyber cafe  semata-mata mahu bermain permainan tersebut. Online game kini mendapat tempat dalam kehidupan masyarakat terutamanya golongan remaja. Ketagihan terhadap permainan tersebut mengundang bahana kepada diri sendiri. Justeru, terdapat banyak keburukan online game ini terhadap remaja.

  Antara keburukan yang pertama ialah permainan atas talian tersebut dapat melalaikan seseorang. Hal ini demikian kerana, akibat terlalu khusyuk bermain permainan tersebut, menyebabkan mereka lupa akan tanggungjawab mereka sebagai pelajar yang harus dilaksanakan. Kerja sekolah yang diberi guru-guru tidak disentuh akibat terlalu leka bermain permainan atas talian itu. Bukan itu sahaja, disebabkan perminan ini juga menyebabkan mereka menangguhkan solat yang wajib itu. Solat di akhir waktu telah menjadi kebiasaan bagi mereka asalkan mereka dapat kepuasan dalam permainan tersebut. Justeru, mereka banyak menghabiskan masa dengan sesuatu yang tidak berfaedah dan ini akan mngundang bahana terhadap diri mereka sendiri.

 Seterusnya, keburukan permainan atas talian ini ialah akan merosakkan penglihatan. Remaja merupakan antara golongan yang sihat fizikal dan mental. Malahan, penglihatan mereka juga jauh lebih baik daripada golongan yang telah berumur. Apabila mereka terjebak dengan permaianan atas talian ini, secara tidak langsung akan mengakibatkan penglihatan mereka terjejas disebabkan terlalu asyik memandang skrin komputer mahupun telefon bimbit. Hal ini amat membimbangkan kerana peratusan remaja yang mengalami kerosakan penglihatan saban hari semakin meningkat. Puncanya adalah disebabkan oleh online game tersebut. Justeru, ibu bapa harus memainkan peranan mereka mengawal penggunaan anak-anak daripada terlalu menggunakan komputer dan telefon bimbit untuk tujuan bermainan game.

  Keburukan yang seterusnya ialah menjadikan remaja itu aggresif. Hal ini demikian kerana, terdapat permaianan yang melibatkan keupayaan berlawan dengan pihak lawan. Apabila mereka terlalu taksub dengan permainan ini, tidak mustahil mereka akan terbawa-bawa ke dunia realiti. Ini akan menyebabkan remaja menjadi begitu aggresif dengan orang yang berada di sekililingnya. Perkara ini amat membimbangkan, sepatutnya diusia mereka yang masih muda ini mereka seharusnya menghabiskan masa dengan melakukan aktiviti yang berfaedah bukan hanya menghadap permainan atas talian tersebut.

  Bukan itu sahaja, online game juga membuatkan mereka terasing daripada masyarakat luar. Hal ini demikian kerana, akibat terlalu taksub dengan permainan tersebut, mereka sanggup menghabiskan masa berjam-jam lamanya menghadap permaianan itu. Kesannya, mengakibatkan mereka terasing dengan masyarakat luar. Bukan sahaja tidak bercampur dengan masyarakat luar bahkan agak sukar untuk meluangkan masa bersama keluarga tercinta. Golongan seperti ini sanggup berkurang lama di dalam bilik mereka bermain permainan tersebut. Hal ini amat membahayakan kerana akan mengakibatkan suatu hubungan itu semakin jauh.

  Kesimpulannya, ibu bapa serta pihak berkuasa haruslah memainkan peranan dalam mencegah gejala ini. Ibu bapa khususnya haruslah memantau aktiviti anak-anak supaya mereka tidak terjebak dengan gejala yang tidak sihat ini sehingga mereka mengabaikan pelajaran mereka. Pihak berkuasa pula haruslah mengambil langkah selanjutnya dalam memastikan tiada cyber cafe  yang membenarkan remaja dalam lingkungan umur 17 tahun ke bawah mengunjungi cyber cafe tersebut pada waktu sekolah mahupun di luar waktu sekolah. Remaja lah yang bakal memimpin negara ini pada suatu masa nanti. Justeru, langkah yang sewajarnya haruslah diambil dengan segera sebelum nasi menjadi bubur.

Wednesday, 2 December 2015

ISU SEMASA

FENOMENA BANJIR (LANGKAH KESELAMATAN)

  Banjir merupakan satu ujian yang didatangkan kepada kita untuk menguji sejauh mana tahap kesabaran kita menghadapinya. Peristiwa banjir besar yang terjadi pada sekitar tahun 2014 begitu meninggalkan kesan yang mendalam kepada mereka yang terlibat. Lebih-lebih lagi, di negeri bahagian Pantai Timur mengalami banjir yang paling teruk sehingga mengorbankan banyak nyawa. Pada tahun ini, peristiwa banjir ini kembali mengahntui kita apabila baru-baru ini di kawasan-kawasan tertentu di negeri Perak dan Kedah dilanda banjir. Persoalannya kini, sejauh mana kita menyanyangi diri kita dan keluarga apabila ditimpa bencana sebegini. Justeru, langkah keselamatan harus diambil apabila kita berada dalam situasi ini misalnya.

  Langkah yang pertama ketika dilanda banjir ialah mengawasi anak-anak daripada bermain di luar rumah. Pastikan anak-anak sentiasa berada bersama kita dan tidak bermain di luar rumah kerana dikhuatiri akan menyebabkan mereka lemas sekiranya ibu bapa tidak mengawasi pergerakan anak-anak. Anak-anak yang masih kecil tidak mengerti tentang bahayanya banjir. Fikiran mereka hanya membayanagkan bahawa betapa seronoknya mereka dapat bermain air. Sekiranya anak-anak dilepaskan bermain banjir di luar rumah, dikhuatiri akan berlaku banjir gelombang yang kuat seperti yang pernah terjadi di Kelantan suatu ketika dahulu. Justeru, ibu bapa harus mengawasi pergerakan anak-anak supaya mereka tidak bermain banjir. Jagalah keselamatan anak-anak supaya tidak berlaku sesuatu yang tidak diingini.

  Seterusnya, langkah yang harus diambil ialah jangan harungi banjir sekiranya banjir yang melanda adalah teruk. Sekiranya berada dalam situasi sebegini, tindakan yang harus diambil ialah hubungi pihak berkuasa dengan kadar yang segera. Jangan lengahkan keadaan kerana dikhuatiri paras air banjir akan meningkat. Bagi mereka yang mendiami rumah yang bertingkat, pastikan anda menyelamatkan diri ke tingkat atas bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. Setelah bantuan daripada pihak berkuasa tiba, hendaklah mendengar arahan daripada mereka sekiranya diarahkan berpindah daripada rumah masing-masing.

  Bukan itu sahaja, langkah seterusnya yang harus diambil ialah pastikan sebelum berpindah ke pusat pemindahan anda telah mengunci rumah anda. Hal ini demikian kerana, dikhuatiri akan berlakunya kejadian pecah rumah ketika banjir. Suatu ketika dahulu kejadian ini pernah berlaku apabila terdapat individu yang tidak berhati perut memecah masuk ke dalam rumah mangsa banjir. Barang-barang berharga lesap begitu sahaja. Pada situasi begini, tidak semua individu boleh dipercayai. Justeru, pastikan anda mengunci rumah anda sebelum berpindah ke pusat pemindahan mangsa banjir.

  Langkah yang seterusnya ialah mematikan suis utama di dalam rumah. Apabila dilanda banjir, pastikan anda mematikan suis utama di rumah anda bagi mengelak berlakunya kejadian litar pintas. Tindakan ini perlu diutamakan kerana melibatkan keselamatan seisi keluarga. Sebelum banjir menjadi lebih teruk, suis utama harus dimatikan terlebih dahulu kerana dikhuatiri sekiranya air banjir telah mencapai paras yang membahayakan, anda akan menjadi panik lalu terus lupa untuk mematikan suis utama. Selain berlaku litar pintas, tanpa disedari dikhuatiri juga akan terjadi renjatan elektrik yang boleh membahayakan seisi keluarga.

  Kesimpulannya, langkah keselamatan haruslah diambil apabila banjir melanda. Kita tidak harus mengambil ringan akan perkara ini kerana bencana sebegini boleh meragut nyawa kita dan keluarga. Oleh itu, sayangilah diri kitta dan juga keluarga. Jangan biarkan bencana banjir ini menjadi titik hitam dalam kehidupan kita sekeluarga.




Sunday, 29 November 2015

KISAH HAIWAN

PERSAHABATAN DAN PENGKHIANATAN


Di dalam sebuah rimba, tinggal sekumpulan haiwan yang pelbagai. Haiwan-haiwan tersebut terdiri daripada Sang Harimau yang merupakan penghulu di rimba tersebut dan anak-anak buahnya yang lain seperti Sang Arnab, Sang Zirafah, Sang Musang dan Sang Beruang. Sang Arnab, Sang Zirafah dan Sang Beruang merupakan sahabat baik sejak dari kecil lagi. Apabila mereka meningkat dewasa, Sang Arnab merupakan antara haiwan yang sungguh jelita di rimba itu. Kecantikan Sang Arnab telah menimbulkan rasa kurang senang si Sang Zirafah dan Sang Beruang. Pada suatu hari, Sang Arnab bersiar-siar di taman bunga, tanpa disedari Sang Arnab, si Sang Zirafah dan Sang Beruang mengekorinya. Dalam pada masa yang sama Sang Zirafah telah merancang satu rancangan jahat bersama dengan Sang Beruang untuk membunuh Sang Arnab. 

"Indahnya hari ini. Udara yang nyaman. Alangkah indah jikalau dapat bersia-siar begini selalu," kata Sang Arnab bersendirian.

Di sebalik semak samun di taman bunga itu, kelihatan Sang Beruang dan Sang Zirafah sedang memerhatikan Sang Arnab.

"Lihatlah si Sang Arnab itu. Bangga benar dia punya wajah yang cantik dan digilai haiwan di rimba ini," tutur Sang Zirafah.

"Iyalah, Sang Arnab punya wajah yang menawan. Tidak seperti kamu wahai Sang Zirafah, leher pun jinjang sampai aku sendiri tidak tahu di mana letaknya tekak kamu," balas si Sang Beruang disusuli dengan tawa kecilnya.

"Amboi, sedap kamu berkata-kata tentang aku ya. Aku tidak peduli. Aku mesti musnahkan si Sang Arnab itu," jerit Sang Zirafah.

Jeritan Sang Zirafah itu telah mengejutkan Sang Arnab. Lalu Sang Arnab pun mencari arah punca suara tersebut dan akhirnya dia menjumpai Sang Zirafah dan Sang Beruang di sebalik semak.

"Sang Zirafah rupanya. Apa kamu buat di sini wahai sahabatku?" soal Sang Arnab.

"Aku tidak lakukan apa-apa. Kami hanya ingin mengambil angin sahaja, tidak begitu wahai Sang Beruang?" balas si Sang Zirafah.

Lalu, dengan terkebil-kebilnya Sang Beruang menjawab, "Ya, kami hanya bersiar-siar di sini untuk mengambil angin."

"Aku berasa lapar. Mari kita makan bersama-sama," ajak si Sang Arnab.

"Tidak mengapa, kamu pergilah dahulu, kami akan menyusul kemudian," balas si Sangg Zirafah.

Sang Arnab pun berlalu pergi meninggalkan mereka berdua.

"Sang Beruang, ini merupakan peluang terbaik untuk kita musnahkan Sang Arnab. Aku akan letakkan racun dalam makanannya. Kau harus mengawal keadaan," ujar si Sang Zirafah dengan angkuhnya.

"Baiklah Sang Zirafah. Aku akan ikut segala perancangan yang telah kita rancang sebelum ini," balas Sang Beruang.

Tanpa mereka sedari, perbualan mereka itu telah didengari oleh Sang Musang di sebalik semak samun itu. Sang Musang amat terkejut dengan perancangan mereka. Sang Musang mengambil keputusan untuk melaporkan berita tersebut kepada Sang Harimau iaitu ketua di rimba tersebut.

"Aku harus melaporkan mengenai perkara ini kepada Tok Penghulu sebelum perkara menjadi lebih teruk," kata si Sang Musang.

Lalu Sang Musang pun berlalu pergi ke arah rumah Sang Harimau ketuanya.

Sementara di rumah Sang Harimau,

"Tok Rimau, saya tidak bercakap bohong. Saya dengar dengan jelas tentang perancagan mereka untuk meletakkan racun ke dalam makanan Sang Arnab," tuturnya kepada Sang Harimau.

"Benarkah semua ini? Katakan kepada ku ini semua hanya dusta belaka," balas Sang Harimau.

"Benar Tok, saya tidak akan menipu mengenai perkara serius seperti ini. Ini melibatkan nyawa," balas Sang Musang.

"Baiklah, jika begitu mari kita pergi halang perbuatan mereka berdua," arah Sang Harimau.

Ketika Sang Arnab asyik leka bermain di taman, Sang Zirafah dan Sang Beruang telah memasukkan racun ke dalam makanan Sang Arnab tanpa pengetahuannya.

Tiba-tiba..

"Zirafah! Beruang! Apa yang sedang kamu lakukan itu??" pekik Sang Harimau.

Sang Zirafah dan Sang Beruang yang terkejut diam tidak berkata apa-apa. Riak wajah mereka kelihatan pucat. Sang Arnab menuju ke arah mereka dan bertanyakan kepada Sang Harimay mengenai apa yang sedang berlaku.

"Wahai Sang Arnab, mereka berdua ini sedang cuba untuk membunuh kamu. Mereka telah meletakkan racun ke dalam makanan kamu supaya kamu mati selepas ini," jelas Sang Harimau.

Sang Arnab yang begitu terkejut dengan perbuatan rakan karibnya terus mengalirkan air matanya.

"Aku tidak sangka kau sanggup mengkhianati aku wahai Sang Zirafah, Sang Beruang. Kita berkawan sejak dari kecil lagi. Mengapa kamu sanggup ingin membunuhku?" tutur Sang Arnab.

Sang Zirafah dan Sang Beruang hanya membatukan diri mereka. Kelihatan riak menyesal pada muka mereka.

"Wahai Sang Zirafah, Sang Beruang, tidak baik kamu bermusuhan sesama kamu. Berbaiklah kamu semula. Sayangilah persahabatan ini. Setiap ciptaan ada kelebihan masing-masing. Tidak perlulah kamu berasa dengki terhadap satu sama lain," jelas Sang Harimau.

Sang Zirafah dan Sang Beruang amat menyesal dengan perbuatan mereka. Lalu mereka pun meminta maaf kepada Sang Arnab.

"Wahai Sang Arnab, maafkan kami. Kami bersalah dalam hal ini. Kami berjanji tidak akan mengulangi perbuatan ini lagi," mohon si Sang Zirafah.

"Tidak mengapalah Sang Zirafah. Aku telah memaafkan kamu," balas Sang Arnab.

Lalu mereka pu  berpelukan antara satu sama lain.

Thursday, 26 November 2015

KEMPEN ALAM SEKITAR


  Alam sekitar merupakan anugerah Tuhan yang terindah buat semua manusia. Alam sekitar ini termasuklah kawasan tumbuh-tumbuhan yang menghijau, udara, air dan sebagainya. Manusia banyak bergantung kepada alam sekitar. Akan tetapi, kini alam sekitar banyak tercemar angkara perbuatan tidak bermoral pihak-pihak tertentu seperti tumpahan minyak, pembuangan sampah merata-rata dan sebagainya. Alam sekitar harus dijaga kerana alam sekitar bukan sahaja hanya diguna pada waktu sekarang tetapi akan digunakan sehingga beratus-ratus tahun lagi. Justeru, masyarakat harus sedar bahawa alam sekitar ini harus dijaga dengan sebaiknya. Oleh itu, untuk mengembalikan kesegaran alam sekitar, beberapa langkah wajar diambil.

   Antara langkah yang boleh dilakukan ialah melalui pendedahan media massa. Media massa pada hari ini memainkan peranan yang  penting dalam memoengaruhi corak pemikiran khalayak. Justeru, pihak media massa haruslah menggunakan peluang ini dalam menyelitkan maklumat mengenai kesedaran alam sekitar terutamanya dalam siaran-siaran iklan di kaca televisyen. Hal ini demikian kerana, hampir setiap keluarga di Malaysia ini pasti mempunyai televisyen di rumah. Oleh itu, tidak mustahil penyampaian maklumat berkaitan alam sekitar ini akan sampai kepada penonton semua. Maka akan timbul kesedaran dalam kalangan mereka.

   Seterusnya, langkah yang harus diambil ialah melalui organisasi-organisasi tertentu seperti pihak sekolah, Jabatan Alam Sekitar, persatuan penduduk kampung dan sebagainya. organisasi-organisasi seperti ini harus mengadakan program berkaitan alam sekitar seperti program menanam pokok bakau atau sebagainya supaya dapat memupuk perasaan kasih dan sayang terhadap alam sekitar. Pendidikan alam sekitar harus diperkenalkan sejak di peringkat sekolah rendah supaya para pelajar diberi pendedahan mengenai kepentingan menjaga alam sekitar. Pada peringkat menengah pula, subjek Biologi seharusnya guru menyelitkan juga mengenai kepentingan alam sekitar itu kepada para pelajar. Melalui cara ini, perasaan sayang terhadap alam sekitar dapat dipupuk.

   Langkah seterusnya ialah melalui penggunaan teknologi moden. Penggunaan teknologi moden dapat membantu dalam penjagaan alam sekitar dan mengurangkan pencemaran. Penggunaannya dapat mengurangkan pencemaran dengan lebih efektif. Dengan adanya teknologi moden, kejadian seperti tumpahan minyak, pembuangan sisa-sisa pejal dan sebagainya boleh dibersihkan dengan berkesan tanpa meninggalkan kesan. Oleh itu, pencemaran dapat dikurangkan. Bukan itu sahaja, penggunaan teknologi moden seperti penapis udara yang dipasang pada ekzos kenderaan dan cerobong asap kilang dapat mengurangkan pelepasan gas karbon monoksida. Oleh itu, dengan adanya teknologi miden seperti ini, pencemaran di sekeliling kita dapat dikurangkan.

   Kesimpulannya, sebagai masyarakat Malaysia kita harus berganding bahu dalam penjagaan alam sekitar kita. Pencemaran alam sekitar semakin hari semakin meningkat berpandukan kepada pertambahan bilangan pengguna. Oleh itu, sama-sama lah kita mengambil iktibar daripada beberapa bencana alam yang terjadi angkara rakusan manusia itu sendiri. 



Lakonan mengenai pentingnya menjaga alam sekitar.

Thursday, 19 November 2015

GELANDANGAN (Isu Kemanusiaan)

    Golongan gelandangan atau dikenali juga sebagai "homeless" ialah individu yang tidak mempunyai tempat tinggal yang tetap dan tempat berteduh yang tidak mencukupi untuk mereka berteduh pada waktu malam. Selain itu, gelandangan juga merujuk kepada individu yang menetap di kediaman yang sementara di mana kediaman tersebut disediakan oleh organisasi tertentu sama ada awam atau swasta. Malaysia mempunyai Akta Orang-orang Papa 1977 (Akta 183) yang diperuntukkan untuk menjaga dan memulihkan individu yang papa serta mengawal kutu rayau yang terdapat di negara ini. Berdasarkan akta tersebut, individu papa ini turut dikesan menjalankan aktiviti mengemis di tempat awam. Hal ini mampu mengundang kebimbangan dalam kalangan orang awam apabila terlalu ramai golongan yang mengemis dan menyebabkan orang awam berasa kurang selesa dengan persekitaran mereka. Golongan gelandangan ini kebanyakan mereka berusia dalam lingkungan 30 tahun ke atas dan rata-rata mereka adalah kaum lelaki. Lebih membimbangkan apabila semakin hari, bilangan gelandangan ini semakin bertambah dan ini boleh mengakibatkan pemandangan yang buruk bagi para pelancong luar yang datang ke Malaysia. Justeru, terdapat beberapa punca mengapa individu tersebut menjadi gelandangan dan disertakan juga beberapa langkah menangani masalah ini.

  Punca utama mereka menjadi gelandangan adalah disebabkan pendapatan mereka yang rendah. Berdasarkan kajian "Homeless in Malaysia: Policy Sheet", didapati bahawa seramai 1/5 daripada golongan gelandangan ini memilih untuk bergelandang disebabkan pendapatan yang mereka peroleh dalam sektor pekerjaan adalah rendah. Masalah ini mengakibatkan mereka tidak mempunyai kewangan yang stabil untuk menyara kehidupan mereka. Hal ini demikian kerana Dasar Gaji Minimum di Semenanjung Malaysia adalah sebanyak RM900. Tambahan pula, kos sara hidup kini semakin meningkat dan ini mengakibatkan mereka menjadi gelandangan kerana tidak mampu untuk menyara hidup mereka dan keluarga. Kajian mendapati bilangan golongan gelandangan di bandar adalah lebih tinggi berbanding di luar bandar. Kesempitan hidup memaksa mereka menjadi begini.

  Seterusnya, punca yang mengakibatkan individu itu menjadi gelandangan adalah disebabkan oleh penyakit kronik. Kajian mendapati bahawa sebanyak 15%-30% daripada golongan tersebut menghidap penyakit kronik. Mereka tidak mempunyai kesedaran tentang penyakit yang dihadapi mereka. Hal ini mengakibatkan keadaan mereka tidak terurus. Bukan itu sahaja, 1/5 daripada mereka pula menghidap masalah mental. Punca utama mereka mengalami masalah mental pula adalah disebabkan tekanan hidup yang dilalui mereka seperti jatuh muflis dalam perniagaan. Lebih memilukan apabila terdapat golongan ini yang dibuang keluarga kerana tidak sanggup menjaga mereka yang mempunyai masalah mental. Selain itu, golongan gelandangan ini juga terdiri daripada penagih dadah. Kebanyakan mereka berteduh di kaki lima, bawah jambatan dan sebagainya. Sepatutnya, golongan seperti ini harus diberi bantuan dari segi rawatan pemulihan supaya dapat memulihkan semula keadaan kesihatan mereka agar mereka dapat melakukan aktiviti sosial seperti masyarakat lain.

    Antara langkah untuk mengatasi masalah ini ialah membuka pusat perlindungan bagi melindungi golongan tersebut. Melalui cara ini, golongan gelandangan akan dilindungi serta dijaga kebajikan mereka. Hal ini demikian kerana, golongan ini merupakan golongan yang tidak bernasib  baik. Apabila wujudnya pusat perlindungan tersebut, segala kebajikan mereka seperti makan minum, pakaian dan kesihatan akan dijaga. Tidak semua gelandangan mempunyai kesihatan yang baik. Justeru, mereka memerlukan penjagaan kesihatan yang rapi. Pusat penjagaan itu akan menjadi rumah kedua mereka. Selain dapat memulihkan mereka, peratus gelandangan yang terbiar di kota-kota besar dan tempat awam akan berkurangan. Golongan seperti mereka harus diberi semangat semula agar mereka dapat dapat membantu negara dalam memacu wawasan negara.

    Selain itu, langkah yang boleh diambil untuk menangani masalah gelandangan ialah mengadakan program keusahawanan dan sosial bagi golongan gelandangan. Kebanyakan mereka tidak mempunyai peluang dalam sektor pekerjaan. Oleh itu, dengan adanya program sebegini dapat menyuntik semangat baru untuk memulakan kehidupan baru mereka. Melalaui program tersebut, mereka akan mendapat peluang untuk menceburi bidang keusahawanan. Justeru, mereka dapat menyumbang kepada ekonomi negara selain dapat menampung kehidupan mereka apabila terlibat secara serius dalam sektor keusahawanan kelak. Bukan itu sahaja, penuntut pengajian tinggi juga boleh menyumbangkan tenaga mereka seperti berkongsi pengetahuan bersama golongan ini tentang bidang keusahawanan agar dapat membuka mata mereka agar tidak mensia-siakan peluang yang hadir di depan mata mereka. 

   Kesimpulannya, sebagai masyarakat mereka kita harus membantu organisasi-organisasi yang terlibat dalam menangani masalah ini. Hal ini demikian kerana, sekiranya masalah ini berlarutan akan mencemarkan industri pelancongan negara. Ini akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara daripada berkembang dengan pesat. Langkah yang bijak harus diambil dari sekarang supaya masalah ini tidak menjadi lebih kritikal pada masa akan datang nanti.

Tuesday, 27 October 2015

KESAN KEDATANGAN PEKERJA ASING TERHADAP MASYARAKAT DAN NEGARA

Pengenalan

Pekerja asing didefinisikan sebagai tenaga kerja dari luar negara atau dikenali juga sebagai buruh asing yang datang ke negara ini untuk mencari rezeki. Kebiasaannya pekerja asing datang ke negara ini adalah untuk memenuhi ruang pekerjaan yang tidak diisi oleh rakyat tempatan. Antara sektor yang menjadi tumpuan pekerja asing ialah sektor pembinaan, perkhidmatan dan perindustrian. Ibarat kata pepatah, di mana ada semut, di situ ada gula. 

Kesan

1mempercepatkan proses pembangunan negara

  • Malaysia merupakan sebuah negara yang sedang pesat membangun
  • Pelbagai perubahan dilakukan secara menyeluruh khususnya dalam pembinaan infrastruktur dan prasarana yang sitematik
  • lebuhraya Pan Borneo yang dibina memerlukan tenaga kerja asing
2.  berlaku pertukaran teknologi
  • Malaysia memerlukan teknologi yang canggih dan moden untuk menjadikan negara ini setanding dengan negara membangun yang lain
  • Kedatangan pekerja asing contohnya tenaga buruh mahir dan separuh mahir ke Malaysia membolehkan pekerja tempatan mempelajari dan memperoleh teknologi baru
  • pertukaran idea dan maklumat antara para saintis tentang vaksin
3. meningkatkan kadar jenayah
  • tidak semua daripada mereka mendapat upah yang mencukupi
  • Kesempitan hidup di negara orang mendesak mereka untuk melakukan perbuatan yang salah di sisi undang-undang
  • Kegiatan jenayah yang semakin serius ini mendatangkan kerisauan kepada setiap lapisan masyarakat tidak kira tua atau muda
Penutup

kedatangan pekerja asing memberikan kesan positif dan negatif kepada masyarakat dan negara. Kedatangan mereka ini tidak boleh disekat lagi disebabkan atas faktor-faktor yang tertentu. Pihak kerajaan perlu memainkan peranan mereka dengan menguatkuasakan undang-undang agar keselamatan masyarakat dan keamanan negara kita terjamin daripada sebarang jenayah disebabkan oleh pekerja asing.

Sunday, 25 October 2015

PEMERENGGANAN

Kesan Kedatangan Pekerja Asing Ke Malaysia Terhadap Masyarakat dan Negara

     Pekerja asing didefinisikan sebagai tenaga kerja dari luar negara atau dikenali juga sebagai buruh asing yang datang ke negara ini untuk mencari rezeki. Kebiasaannya pekerja asing datang ke negara ini adalah untuk memenuhi ruang pekerjaan yang tidak diisi oleh rakyat tempatan. Selain itu, mereka datang bekerja di sini adalah untuk mencari pendapat yang lebih lumayan berbanding di negara asal mereka. Antara sektor yang menjadi tumpuan pekerja asing ialah sektor pembinaan, perkhidmatan dan perindustrian. Ibarat kata pepatah, di mana ada semut, di situ ada gula. Namun, kedatangan mereka ke sini turut memberi kesan positif dan juga negatif kepada masyarakat dan juga negara.

      Antara kesan positif kedatangan pekerja asing ke Malaysia ialah mempercepatkan proses pembangunan negara. Malaysia merupakan sebuah negara yang sedang pesat membangun. Justeru pelbagai langkah diambil dalam memantapkan pertumbuhan ekonomi negara. Pelbagai perubahan dilakukan secara menyeluruh khususnya dalam pembinaan infrastruktur dan prasarana yang sitematik. Sebagai contoh, lebuhraya Pan Borneo yang dibina memerlukan tenaga kerja asing bagi mempercepatkan proses pembinaan lebuhraya tersebut. Dengan adanya pekerja asing ini, proses pembangunan negara dapat berlangsung dengan cepat.

       Seterusnya, kesan positif yang kedua ialah berlaku pertukaran teknologi. Sebagai sebuah negara yang sedang pesat membangun, Malaysia memerlukan teknologi yang canggih dan moden untuk menjadikan negara ini setanding dengan negara membangun yang lain. Kedatangan pekerja asing contohnya tenaga buruh mahir dan separuh mahir ke Malaysia membolehkan pekerja tempatan mempelajari dan memperoleh teknologi baru melalui program yang diadakan secara usahasama oleh pihak kerajaan atau pihak tertentu. Sebagai contoh, pertukaran idea dan maklumat antara para saintis tentang vaksin. Oleh hal yang demikian, pertukaran teknologi ini dapat menjana keemajuan negara.

       Kesan negatif kedatangan pekerja asing ke Malaysia ialah meningkatkan kadar jenayah. Hal ini demikian kerana, tidak semua daripada mereka mendapat upah yang mencukupi. Kesempitan hidup di negara orang mendesak mereka untuk melakukan perbuatan yang salah di sisi undang-undang. Kegiatan jenayah seperti merompak, meragut dan mencuri tidak dapat dinafikan semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat kita. Walaupun kegiatan jenayah ini tidak semestinya berkaitan dengan pendatang asing tetapi disebabkan sejarah lampau mengenai kes-kes jenayah yang melibatkan mereka mengakibatkan masyarakat menuding jari ke arah mereka. Kegiatan jenayah yang semakin serius ini mendatangkan kerisauan kepada setiap lapisan masyarakat tidak kira tua atau muda. Akhir kata, antara salah satu kesan negatif kedatangan pekerja asing ialah mendatangkan masalah sosial dalam kalangan masyarakat.

       Kesimpulannya, kedatangan pekerja asing memberikan kesan positif dan negatif kepada masyarakat dan negara. Kedatangan mereka ini tidak boleh disekat lagi disebabkan atas faktor-faktor yang tertentu. Oleh itu, pihak kerajaan perlu memainkan peranan mereka dengan menguatkuasakan undang-undang agar keselamatan masyarakat dan keamanan negara kita terjamin daripada sebarang jenayah disebabkan oleh pekerja asing.

Buruh asing di Malaysia